Posted by: el99 | August 13, 2008

Aurat dan Pornoaksi

Firman Allah Subhanahu wa ta‘ala:
يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا وَلِبَاسُ التَّقْوَىَ ذَلِكَ خَيْرٌ ذَلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ

Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).” (Al-A‘araf, 7: 26).

Islam telah menetapkan bahawa adanya bahagian yang tertentu menjadi aurat pada diri wanita yang perlu ditutupi. Ia adalah suatu hukum yang mudah menurut kacamata Islam yang umum di dalam kehidupan yang terdapat padanya perkara yang diharuskan dan perkara yang ditegah. Perspektif umum Islam menggesa agar kita menjauhkan diri dari segala godaan dan perkara yang meransang syahwat. Matlamatnya ialah memuliakan manusia dan meninggikan sifat nalurinya, disamping menjadikan kuasa yang di tangan seseorang dipandu oleh matlamat syari’at dan hukum-hakam akal…. agar manusia dinaungi dengan kemuliaan. Juga mengangkat darjat manusia daripada semata-mata menjadi seperti haiwan, sekadar makan dan memakai.

Apa yang berlaku terhadap wanita di barat, dan menjadi realiti yang biasa ialah kecenderungan kepada budaya bogel yang primitif. Sudah ketara pemudi-pemudi di Eropah, mereka selesa dengan adat tradisi separuh bogel. Apa yang dilihat pada hari-hari percutian musim panas suatu yang sangat parah.

Dengan syari’at Islam, masyarakat Islam adalah masyarakat yang bersih. Islam telah memfardhukan kebersihan luaran dan dalaman, zahir dan batin, pemikiran dan perasaan, pakaian dan tempat tinggal. Islam juga memfardhukan kesucian hati daripada segala penyakit-penyakitnya dan kebersihan lahiriah daripada segala kekotoran. Kemurnian hubungan antara lelaki dan wanita adalah satu cabang daripada prinsip kebersihan ini. Namun terdapat mereka yang inginkan kepincangan dan memandang hubungan sebegini sepertimana yang mereka katakan: “Hubungan biologi adalah suatu yang tabi’ie, tiada padanya sebarang kecelaan dan tiada sebarang ikatan.” Memandang manusia hanya sebagai lelaki atau wanita adalah pandangan yang cetek, sedangkan tersirat di sebaliknya persediaan ke arah kemuliaan dan ketinggian.

Kita telah melihat mereka yang telah memeluk Agama Islam di celahan situasi gejala yang terpesong ini, mereka itu telah bahagia dengan konsep Islam yang memuliakan manusia, sehingga berkata salah seorang daripada mereka yang memeluk Agama Islam kepada sekelompok bangsanya sendiri iaitu Eropah, yang perlu kami tegur pendekatannya, iaitu: “Selagimana kamu tidak memeluk Agama Islam, kamu adalah lembu…!” Ya benar! Sesungguhnya adab dakwah menolak perkataan yang sedemikian, tetapi perlu dijelaskan: Apabila mereka memeluk Agama Islam dan mengetahui tentang kebersihan Islam, mereka dapat mengenali hakikat taraf kebinatangan yang telah terpalit kepada mereka seketika dahulu (Dan suatu yang bercanggah itu menzahirkan kebaikan yang di sebaliknya).

Para pengkaji yang adil, mengetahui dengan yakin, tentang seks rambang yang dialami oleh orang bukan Islam khususnya di barat. Kebanyakan kanak-kanak, wanita dan pemuda tidak mengenali bapa mereka. Seorang suami kepada seorang wanita muslimah Amerika telah memberitahu kepadaku bahawa isterinya tidak pasti siapa bapanya yang sebenar, bapanya telah menggauli semua anak perempuannya dan dia bersyukur kepada Allah kerana Allah menyelamatkannya.

Sesungguhnya Islam menjaga nasab keturunan dan harta benda, yang merupakan salah satu dari objektif-objektif Islam yang dharuri (mesti). Yang mana hidup ini tidak akan konsisten tanpa unsur-unsur tersebut. Lantaran itu, para ulama’ Islam menamakannya sebagai al-maqosid ad-dharuri (objektif-objektif yang dharuri) iaitulah menjaga agama, akal, kehormatan, jiwa, harta, kebebasan dan kemuliaan.

Masyarakat Islam dibangunkan dengan menjaga perkara-perkara dharuri ini, mereka saling tolong-menolong untuk menjaganya, bahkan ia bertanggung jawab untuk memeliharanya demi kesejahteraan dan kelangsungan masyarakat Islam.

Antara suatu yang logik, ketetapan akal dan hukum-hakamnya yang jelas ialah jika ditegah dan diharamkan suatu perkara, maka ditegah juga wasilah (pengantara) dan segala sebab-musababnya. Oleh kerana syari’at Islam itu terbina dengan kebijaksanaan akal untuk mendapatkan maslahah (kebaikan), maka sudah tentulah Islam mengharamkan segala wasilah yang membawa kepada suatu yang haram; dan memfardukan wasilah yang membawa kepada suatu yang wajib. Oleh kerana mendedahkan aurat dan melihat aurat adalah satu perkara yang boleh membawa kepada yang diharamkan dan merosakkan penjagaan salah satu daripada al-maqosid ad-dharuri (objektif-objektif yang dharuri) dalam syari’at Islam; maka pada logik dan syari’at sudah pasti – perhiasan lelaki dan wanita hendaklah pada had kadar yang memelihara kemuliaan diri mereka serta menjamin kesejahteraan masyarakat – menjadi salah satu daripada kefardhuan Islam, adab-adab Islam yang murni dan lambang kebersihan Islam, serta kemuliaan dan ketinggian ISLAM.

HARAM DEDAH AURAT

Pengharaman ini adalah berdasarkan kepada firman Allah Subhanahu wa ta‘ala:

قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka.

Juga firman Allah Subhanahu wa ta‘ala:

وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ

Maksudnya: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka.
(An-Nuur: 30, 31)

Terdapat pada diri lelaki bahagian aurat yang diharamkan kepada lelaki yang lain melihatnya dan wanita juga mempunyai bahagian aurat yang diharamkan ke atas wanita yang lain untuk melihatnya. Jelas, pada jasad lelaki terdapat bahagian yang diharamkan ke atas wanita melihatnya dan terdapat pada wanita bahagian yang diharamkan ke atas lelaki melihatnya. Perkara ini menunjukkan bahawa syari’at Islam adalah syari’at yang selaras dan bersepadu. Ia tidak mengkhususkan wanita sahaja bahkan ia merupakan syari’at yang adil. Ia memelihara segala masalah hubungan tabi’ie dan kecenderungan semulajadi antara lelaki dan wanita.

Hadis Nabi yang menyatakan tentang perkara ini ialah berdasarkan riwayat al-Tabarani dan al-Hakim. Al-Hakim mengatakan sanad hadis ini sahih daripada Abdullah Ibn Mas‘ud Radiallahu‘anhu. Beliau berkata: Bersabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam tentang apa yang ia riwayatkan daripada Allah Subhanahu wa ta‘ala:

النَظْرَةُ سَهْمٌ مِنْ سِهَامِ إِبْلِيْسَ مَنْ تَرَكَهَا مِنْ مَخَافَتِي أَبْدَلْتُهُ إِيْمَانًا يَجِدُ حَلاَوَتَهُ فِي قَلْبِهِ

Maksudnya: “Pandangan adalah antara panahan iblis, sesiapa yang meninggalkan pandangan tersebut kerana takutkanKu maka akan aku gantikan dengan keimanan yang ia akan dapat rasakan kemanisannya di dalam hatinya.”

Imam Ahmad dan al-Tabarani meriwayatkan daripada Abu Umamah Radiallahu‘anhu, daripada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَنْظُرُ إِلَى مَحَاسِنِ امْرَأَةٍ أَوَّلَ مَرَّةٍ ثُمَّ يَغُضُّ بَصَرَهُ إِلاَّ أَحْدَثَ اللَّهُ لَهُ عِبَادَةً يَجِدُ حَلاَوَتَهَا

Maksudnya: “Tiada seorang muslim yang memandang kepada kecantikan seorang wanita kemudian ia memejamkan matanya melainkan Allah Subhanahu wa ta‘ala timbulkan baginya satu ibadah dan ia merasakan kemanisan di dalam hatinya.”

Imam Ahmad dan Ibn Hibban meriwayatkan di dalam kitab sahih mereka dan juga al-Hakim, daripada ‘Ubadah Ibn Samit Radiallahu‘anhu, daripada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda:

اضْمَنُوا لِي سِتًّا مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَضْمَنْ لَكُمْ الْجَنَّةَ اصْدُقُوا إِذَا حَدَّثْتُمْ وَأَوْفُوا إِذَا وَعَدْتُمْ وَأَدُّوا إِذَا اؤْتُمِنْتُمْ وَاحْفَظُوا فُرُوجَكُمْ وَغُضُّوا أَبْصَارَكُمْ وَكُفُّوا أَيْدِيَكُمْ

Maksudnya: “Pelihara enam perkara di dalam diri kamu nescaya aku akan menjamin syurga untuk kamu: Bercakap benar bila berbicara, apabila berjanji ia tepati, menjaga amanah apabila diberi amanah, menjaga kemaluan, menundukkan pandangan dan menjaga tangan kamu.”

Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan, daripada Abu Hurairah Radiallahu‘anhu, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

كُتِبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ نَصِيبُهُ مِنْ الزِّنَا مُدْرِكٌ ذَلِكَ لاَ مَحَالَةَ فَالْعَيْنَانِ زِنَاهُمَا النَّظَرُ وَالأذُنَانِ زِنَاهُمَا الاسْتِمَاعُ وَاللِّسَانُ زِنَاهُ الْكَلامُ وَالْيَدُ زِنَاهَا الْبَطْشُ وَالرِّجْلُ زِنَاهَا الْخُطَا وَالْقَلْبُ يَهْوَى وَيَتَمَنَّى وَيُصَدِّقُ ذَلِكَ الْفَرْجُ وَيُكَذِّبُهُ

Maksudnya: “Allah telah menetapkan ke atas anak Adam nasib mereka berkaitan zina secara pasti: Zina mata ialah pandangan, zina telinga ialah pendengaran, zina lidah ialah bicara, zina tangan ialah penganiayaan, zina kaki ialah langkah, zina hati ialah hawa nafsu dan angan-angan, semua ini dibenarkan oleh kemaluan dan ia memperdayanya.”

Imam Muslim dan al-Tirmizi meriwayatkan, daripada Jarir Radiallahu‘anhu, beliau berkata:

سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ نَظَرِ الْفُجَاءَةِ فَقَالَ اصْرِفْ بَصَرَكَ

Maksudnya: “Aku bertanya kepada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam tentang pandangan yang tidak disengajakan, maka jawab Baginda: “Palingkan pandangan kamu.”

Tidak syak lagi antara matlamat Islam berkaitan menundukkan pandangan ialah – sepertimana yang dinyatakan oleh pengarang kitab Zilal – untuk mendirikan masyarakat yang bersih, yang tidak hanyut dilanda gelombang nafsu pada setiap detik dan tidak dipengaruhi oleh ransangan syahwat pada setiap masa. Pengaruh ransangan seks berterusan, dan berakhir dengan insan terhumban ke dalam api serakah syahwat yang tidak kunjung padam dan puas. Pandangan yang khianat, gerak geri yang memberahikan, perhiasan mereka yang bersolek serta tubuh yang bertelanjang, semuanya tidak lain, melainkan membakar semarak hawa nafsu yang menggila. Satu-satunya kaedah Islam untuk mewujudkan masyarakat yang bersih ialah menghalang semua pengaruh sebegini dan mengekalkan dorongan fitrah yang mendalam antara dua jantina ini dalam keadaan yang sejahtera dengan kekuatan yang tabi‘ie tanpa ada pengaruh yang sengaja diada-adakan.

Pernah diperkatakan bahawa terdapat faedah daripada perbuatan seperti melepaskan pandangan, berbicara terbuka, bergaul bebas, gurau senda dan bergembira tanpa batasan antara dua jantina, serta melihat bahagian aurat tersembunyi. Yang mana digembar-gemburkan bahawa ia boleh meredakan dan merehatkan, menjadi sebagai luahan terhadap hambatan dan halangan rasa ghairah, mengawal diri dari konflik dan tekanan jiwa, meringankan tekanan seksual dan lain-lain lagi.

Namun mereka yang berpegang dengan pandangan dan pemikiran ini telah lupa, kecenderungan fitrah antara lelaki dan perempuan merupakan kecenderungan yang mendalam dalam pembentukan yang hidup. Ini kerana Allah Subhanahu wa ta‘ala menciptakannya untuk meneruskan kehidupan di atas muka bumi ini, dan merealisasikan tugas khilafah manusia di atas muka bumi. Ia merupakan kecenderungan berkesinambungan.

Memarakkan gelombang nafsu sedemikian menambah lagi haru-biru, dan mendorong seseorang untuk memadamkannya secara lahiriyyah untuk memperolehi kerehatan. Jika ia gagal melakukannya maka saraf yang sedang bergelora akan kepenatan. Ia menyebabkan suatu penyeksaan yang berpanjangan.

Pandangan boleh memberahikan, ketawa boleh menghairahkan, gurau-senda boleh merangsang, dan jeritan yang mengungkapkan kecenderungan ini juga boleh memberi ransangan. Satu-satunya cara yang boleh dipercayai ialah dengan mengurangi pengaruh-pengaruh ini sehingga kecenderungan ini kekal pada batas-batasnya yang tabi‘ie. Seterusnya menyahut seruan yang tabi‘ie ini dengan perkahwinan yang syar‘ie.

Inilah dia landasan yang dipilih oleh Islam dan yang diredhai bagi keperluan seks manusia, untuk menyempurnakan ketenangan jiwa, kestabilan fikiran, kerehatan saraf dan ikatan murni yang mengikat keseluruhan bani insan!!

Alangkah indahnya apa yang pernah diungkapkan oleh sebahagian mereka berkaitan pengaruh pandangan:

كل الحوادث مبداها من النظر

ومعظم النار من مستصغر الشرر

كم نظرة فعلت في قلب صاحبها

فعل السهام بلا قوس ولا وتر

والمرء مادام ذا عين يقلبها

في أعين الغيد موقوف على خطر

يسر مقلته ما ضر مُهجتَه

لا مرحبا بسرور عاد بالضرر

Maksudnya:
“Mata adalah punca segala perlakuan yang pincang; api yang memarak berasal dari percikan yang kecil.”

“Betapa banyak penglihatan mengganggu hati tuannya; bak panahan yang menusuk hati tembus ke sanubarinya.”

“Selama mana manusia memiliki mata yang dipermain-mainkannya; merenung mata rupawan yang membahayakan.”

“Matalah yang girang gembira namun hatinya yang menerima bahananya; kita tidak mengalu-alukan kegembiraan yang berakhir dengan kemudharatan.”

Benarlah sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Imam al-Tabarani:

ثَلاَثَةٌ لاَ تَرَى أَعْيُنُهُمْ النَّارَ عَيْنٌ حَرَسَتْ فِي سَبِيْلِ اللهِ وَعَيْنٌ بَكَتْ مِنْ خَشْيَةِ اللهِ وَعَيْنٌ كَفَتْ عَنْ مَحَارَمِ اللهِ

Maksudnya: “Tiga mata yang tidak melihat api neraka, mata yang berwaspada di jalan Allah; mata yang menangis kerana takutkan Allah dan mata yang terpelihara daripada apa yang diharamkan Allah.”


Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

%d bloggers like this: